Oleh Mohd Yusop Hassim
BULAN Ramadan dalam Islam masyhur dengan gelar 'bulan ketaatan' kerana Allah telah mewajibkan ke atas kaum Muslimin agar mengamalkan ibadat puasa semata-mata memuliakan bulanNya. Ramadan juga adalah bulan Al-Quran diturunkan, sebuah kitab suci yang mengandungi hidayat ke jalan kebaikan, bukan sahaja kepada umat Islam malah untuk dunia sejagat. Justeru, tujuan berpuasa ialah bertakwa bagi menjauhi segala dosa dan maksiat. Ini tidak akan tercapai melainkan dengan ketaatan serta patuh pada apa yang disyarakkan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Bulan ketaatan yang bermula dengan berpuasa mengandungi banyak perkara dalam kehidupan manusia. Ia diiktibarkan oleh kamus keislaman sebagai rahsia antara hamba dan Tuhannya seperti terkandung dalam sebuah hadis Qudsi bermaksud: 'Setiap amalan anak Adam (daripada kebaikannya) akan memperolehi 10 kali ganda ganjaran melainkan puasa. Ia kepunyaan-Ku dan Akulah yang memberikan ganjaran baginya.'
Ramadan mempunyai keistimewaan tertentu jika dibandingkan dengan ibadat-ibadat lain. Ia adalah bulan untuk mendirikan solat tarawih yang dianggap sebagai satu latihan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Jika keikhlasan dalam mengerjakan solat tarawih ada pada jiwa orang yang berpuasa, maka dengan sendirinya dia akan berasa seperti 'kerinduan' untuk bangun pada malam hari mengerjakan amal ibadat walaupun telah berakhir Ramadan.
Antara keistimewaan lain, Ramadan merupakan bulan 'iktikaf'. Pada umumnya, iktikaf itu adalah sunah daripada amalan Rasulullah saw dan dianggap 'sunah muakadah' pada bulan Ramadan, khususnya pada 10 hari terakhir. Justeru, apabila tiba hari-hari berkenaan, Nabi saw amat prihatin dan sentiasa beriktikaf bersama keluarganya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.
Beriktikaf dalam 10 hari terakhir itu digalakkan kerana pada hari-hari itu ada lailatulqadar yang bertaraf lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan. Ia juga adalah amalan yang dimuliakan Allah bersempena 'Nuzul Al-Quran'. Pada malam itu juga, dengan izin Allah, para malaikat bersama Jibrail turun dari Sidratulmuntaha ke bumi untuk bertemu dengan orang yang sedang beriktikaf, bersolat, bertasbih, bertahmid dan bertakbir sambil memohon kebaikan kepada Tuhannya. Ketika itu, malaikat mengaminkan doa-doa mereka. Dengan perkataan lain, malaikat memohon kepada Allah agar diperkenankan (dimakbulkan) doa orang yang beriktikaf itu. Doa yang afdal sekali ialah doa Rasulullah saw yang bermaksud:
'Ya Allah, ya Tuhanku, Engkaulah Pengampun (yang amat suka kepada pengampunan), maka ampunilah daku.'
Seorang Mukmin tidak memohon kepada Tuhannya harta, anak pinak atau apa jua pun kemewahan yang wujud di dunia ini tetapi dia memohon pengampunan daripada Tuhannya.
Ramadan juga adalah bulan perpaduan kemasyarakatan dalam amalan sedekah fitrah kerana ia dapat menyucikan jiwa orang yang berpuasa. Dengan bersedekah juga, seorang Mukmin itu akan dapat merasai betapa beratnya tanggungjawab dalam penghidupan kerana ia dituntut menunaikannya bagi diri dan keluarga termasuklah kededua ibu bapanya sebelum solat Hari Raya bermula. Rahsia di sebalik itu semata-mata untuk menjaga mereka dalam pendidikan dan peradaban, malah memandu tatasusila kekeluargaan ke jalan yang diredai Allah.
Perpaduan kemasyarakatan pada bulan puasa bukan saja tertakluk pada pemberian orang yang berkemampuan kepada orang yang tidak mampu, malah ia juga dituntut sesama mereka yang berkebolehan dalam membantu satu sama lain. Terlebih afdal lagi jika mereka itu menghantarkan juadah berbuka ke masjid-masjid bagi yang berhajat seperti fakir miskin dan yang terlewat pulang daripada tugasnya. Mereka terpaksa singgah di masjid yang berdekatan untuk mengejar masa beribadat dan sekali gus dapat menikmati juadah tersebut.
Apa yang terpenting dalam penilaian itu semua ialah mendidik dan melatih jiwa serta menjadikannya satu amalan yang berterusan. Setiap pengajaran dalam pendidikan jiwa dan kemasyarakatan wujud pada amalan berpuasa.
Posted by buah kerdas at Friday, August 28,
No comments:
Post a Comment